Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengakui berdepan kesuntukan masa sebelum memulakan semakan disiplin terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung isu dokumen melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, berkata pihaknya berharap semua proses undang-undang dan rayuan yang dijalankan oleh FAM dapat diselesaikan sebelum 31 Mac tahun depan bagi mengelak gangguan terhadap persiapan undian peringkat akhir Piala Asia 2027.

โ€œBagi kami, terdapat kekangan masa kerana undian akan berlangsung selepas perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala Asia, iaitu pada 31 Mac. Selepas perlawanan terakhir, kami akan mula membuat persiapan untuk undian.

โ€œJadi bagi undian itu, kami perlu tahu pasukan daripada kumpulan Malaysia yang akan layak. Sebab itu kami berharap semuanya dapat diselesaikan sebelum 31 Mac,โ€ katanya selepas sesi bersama media di sini, hari ini.

Windsor berkata AFC hanya akan memulakan semakan disiplin melalui jawatankuasa disiplin selepas menerima keputusan muktamad daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

โ€œSelepas keputusan muktamad, sama ada daripada Jawatankuasa Rayuan FIFA atau CAS, kami akan mengambilnya sebagai keputusan rasmi. Semua bergantung kepada proses rayuan FAM.

โ€œSelepas itu, fail kes akan diserahkan kepada AFC untuk tindakan lanjut mengikut kesan keputusan FIFA terhadap perlawanan AFC. Begitulah cara jawatankuasa disiplin akan meneliti fail kes dan mengenal pasti perkara yang telah dilanggar,โ€ katanya.