Kuala Lumpur: Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil menanggung sepenuhnya semua kos berkaitan kes membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan yang akan dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Tunku Ismail sebagai tanda sokongan terhadap usaha mendapatkan keadilan buat pemain yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Saya tanggung semua, bukan duit rakyat,” titah baginda ringkas ketika menjawab pertanyaan berhubung pembiayaan kes berkenaan.
Kenyataan itu sekali lagi menunjukkan keprihatinan Tunku Ismail terhadap nasib pemain terbabit yang sebelum ini dikenakan hukuman oleh FIFA berhubung isu status kelayakan bermain untuk skuad kebangsaan.
Sebelum ini, FAM mengesahkan akan membawa kes itu ke CAS selepas rayuan terhadap keputusan FIFA ditolak baru-baru ini, sekali gus membuka peluang terakhir bagi mendapatkan pembelaan.
Langkah Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) menanggung segala kos guaman dan perjalanan dijangka meringankan beban kewangan FAM selain memberi keyakinan baharu kepada pasukan perundangan Malaysia dalam memperjuangkan hak pemain.
Dalam pada itu, baginda turut menegaskan tidak gentar sekiranya tindakan atau kenyataannya terhadap FIFA kemungkinan mengundang sebarang implikasi daripada badan induk bola sepak dunia itu.
“Tidak (bimbang dikenakan tindakan FIFA). Silakan,” tegas Tunku Ismail, mengulas mengenai kemungkinan berdepan tindakan susulan selepas mengkritik FIFA secara terbuka baru-baru ini.
