LUBOK CHINA – Penduduk kampung di kawasan ini gempar selepas sepasang warga emas, masing-masing berusia 81 dan 69 tahun, disyaki bersekedudukan tanpa ikatan pernikahan di sebuah rumah kampung yang sebelum ini sering sunyi.
Serbuan dilakukan sekitar jam 10 malam oleh Imam 1, Ketua Kampung Sidang, anggota polis balai berhampiran serta beberapa penduduk tempatan selepas menerima aduan daripada jiran yang curiga dengan kehadiran pasangan itu pada waktu malam.
Menurut sumber tempatan, warga emas lelaki berkenaan dikatakan sudah lama menduda, manakala wanita tersebut pula merupakan janda anak tiga. Penduduk mendakwa mereka sering dilihat keluar bersama, namun tidak menyangka hubungan itu melangkaui batas.
Ketika serbuan, kedua-duanya berada di dalam rumah dalam keadaan mencurigakan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut.
Kes kini diserahkan kepada pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka kerana disyaki melakukan perbuatan khalwat dan bersekedudukan tanpa nikah.
Sumber: Melaka Daily
