Ibu Fatin Syazwani luah kesedihan, “Makcik memang takut duduk seorang diri dalam sel lokap polis. Dipakaikan baju tahanan reman selain dipisahkan dari suami dan dua anak adalah satu pengalaman tak mampu makcik lupakan tapi inilah harga dibayar untuk bertemu anak sendiri. Selama berkahwin dengan pakcik hampir 30 tahun, inilah kali pertama berpisah tempat tidur dengan pakcik.

“Makcik menangis dalam lokap tu. Tapi makcik tak fikirkan diri sendiri ketika itu tapi hati makcik runsing fikirkan diri Fatin. Apa keadaannya. Bagaimana kesihatannya.

Semalaman makcik tak boleh tidur memikirkan nasib Fatin. Itulah yang buat makcik sedih,” katanya berkongsi pengalaman tidur semalam dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini selepas ditahan pihak polis bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan kira-kira jam 7 malam semalam.

Di dalam sel lokap, Aminah akui tidak menghiraukan keadaan dirinya sebaliknya hanya memikirkan nasib anak keduanya iaitu Fatin Syazwani, 27 yang berkahwin dengan Prince Syed atau nama sebenarnya, Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman serta dikurniakan dua cahaya mata.

“Makcik datang ke Gerik pun nak tengok anak serta cucu serta risaukan situasi Fatin yang dibedah perutnya.Makcik dapat tahu anak kena tebuk di leher lepas buat pembedahan perut tu.

Kami cuma datang nak tengok anak tapi Prince Syed tak beri tengok walau kami mesej beritahu mahu tahu keadaan Fatin sehinggalah pergaduhan tercetus yang membawa mereka sekeluarga ke lokap polis.

Jelasnya lagi, selepas semalaman ditahan reman, sekitar petang semalam dia, suami Ishak Saif, 59 serta dua anaknya, Muhd Syahmi Faiz, 31 serta Muhammad Ikhwan Alif, 22 telah dibebaskan oleh peguam yang dilantik.

“Kami kena keluarkan RM3000 untuk membayar kos peguam dan tahu kes ini akan ada pendakwaan kelak. Sebagai ibu, selama tujuh tahun Fatin mendirikan rumahtangga, makcik sekali pun tak pernah masuk campur urusan rumahtangga mereka dan hanya mamandang sahaja. Tapi bila soal kesihatan Fatin tidak dimaklumkan, itu buat kami risau,”katanya ketika ditemui Mingguan Wanita