KUALA LUMPUR: Penyanyi Nubhan memaklumkan sedia menerima apa sahaja tindakan peminat termasuk memboikot produk perniagaan yang menggunakan jenama ibunya, Mak Jenny.
Ia susulan isu perceraiannya dengan isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek yang hangat diperkatakan sekarang.
“Rezeki di tangan Allah. Ini satu dugaan buat saya dan saya rasa Mak Jenny tak tahu apa-apa pun hal ini dan dia sendiri pun tak tahu yang dia dikecam juga.
“Pada yang mengata mak saya, dia tak tahu apa-apa. Dan sebenarnya kadang-kadang video yang saya buat dengan mak, dia pun tak tengok. Jadi diri dia, seperti itulah.
“Mak Jenny tak harap apa-apapun sebenarnya. Kalau sesiapa yang rasa untuk berbuat sedemikian, saya tak boleh halang, tak boleh marah dan tak boleh hentikan,” katanya ditemui pada Sidang Media Pengumuman Peserta Gegar Vaganza 12 (GV12), semalam.
Pada pengumuman itu, Nubhan turut tersenarai bersama 11 peserta lain antaranya Datuk Elaine Kang, Rahmat Ekamatra, Korie dan ramai lagi.
Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 39, berkata, dia cuma berdoa agar Allah melancarkan apa sahaja urusannya selepas ini.
“Tak kiralah walaupun saya di Gegar Vaganza serta dalam perniagaan Mak Jenny. Dengan perniagaan Mak Jenny, saya dapat merasakan satu nikmat yang lain.
“Setelah membesarkan kami lapan beradik dan apabila sekarang apa yang mak nak saya dapat tunaikan, di usia mak yang dah senja, saya ada satu kebahagiaan.
“Itu satu kebahagiaan. Dan semua yang terjadi sekarang ini pun atas doa Mak,” katanya.
Terdahulu isu boikot timbul apabila Nubhan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 16 Oktober lalu bagi prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya.
Hakim kemudian menetapkan tarikh 2 Disember depan untuk perbicaraan pertama bagi kes pengesahan lafaz cerai mereka.
