PETALING JAYA – Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari, menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Bukit Aman untuk melantik pegawai penyiasat (IO) baharu bagi mencari individu yang didakwa bertanggungjawab membunuh anak lelakinya.
Zaim Ikhwan, 30, mendakwa beliau dan keluarganya tidak lagi mempercayai ketelusan IO sedia ada yang mengendalikan kes tersebut sebelum ini.
“Saya kecewa dengan keputusan hari ini. Semoga semua yang terlibat dalam ketidakadilan dan fitnah terhadap keluarga saya akan menerima balasan Tuhan.
“Pihak polis perlu teruskan siasatan untuk mencari pembunuh anak saya yang masih bebas di luar sana,” katanya dengan nada kecewa.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat.
Zaim Ikhwan turut meluahkan rasa kecewa susulan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, selepas didapati bersalah mengabaikan Zayn Rayyan, dua tahun lalu.
Katanya, walaupun sukar menerima keputusan tersebut, beliau akan cuba menghadapinya sebagaimana beliau menerima takdir kehilangan anak sulungnya itu pada Disember 2023.
