Individu Mohd Izary Muhammed Ikhbal, 45, yang kini dikenali sebagai ‘Coach Cerai’, mengakui pernah dikecam hebat hingga digelar dasim (syaitan atau jin yang merosakkan rumah tangga) kerana disalah anggap mahu mengajar orang bercerai.
Namun katanya, tanggapan itu tidak benar sama sekali kerana skop kerjayanya sebenarnya menjurus kepada membantu pasangan menyelamatkan rumah tangga dan membimbing individu selepas melalui fasa perceraian.
“Memang ada yang kecam hingga panggil dasim dan beri persepsi negatif kerana anggap saya nak ajar orang bercerai.
“Tapi saya tak salahkan mereka, mungkin ada beranggapan begitu kerana tak faham skop kerja saya yang sebenarnya nak bantu selamatkan rumah tangga,” katanya.
Coach Cerai perjelas skop kerja
Sebelum ini terbabit dalam bidang kewangan selama dua dekad, Mohd Izary memilih untuk beralih kerjaya sejak Oktober tahun lalu selepas melalui sendiri episod sukar dalam rumah tangga apabila pernah dua kali berpisah sebelum mendirikan rumah tangga kali ketiga.
“Saya ada pengalaman bercerai, yang pertama pada 2006 dan kini dengan isteri hasil perkahwinan kali ketiga.
“Alhamdulillah, rumah tangga saya sekarang sudah bertahan selama 12 tahun dan sebelum ini saya pernah beri nasihat kepada pasangan yang ada isu rumah tangga supaya tak bercerai,” katanya.
