PELAKON Kamal Adli menzahirkan harapan agar rumah tangganya bersama isteri, Uqasha Senrose, masih dapat diselamatkan meskipun hubungan mereka kini berdepan ujian besar.

“Saya datang dengan niat baik. Saya tak ada apa pun, cuma nak selamatkan apa yang ada.

“Ini tanggungjawab saya sebagai suami dan ayah. Hari ini saya datang untuk tunaikan tanggungjawab itu. Doakan yang baik-baik saja,” katanya.

Jelas pelakon filem Abang Long Fadil 3 itu, dia tidak dapat hadir pada prosiding pertama minggu lalu kerana terikat dengan urusan kerja, namun memastikan untuk hadir kali ini.

“Hari itu saya tak dapat datang sebab ada masalah dan komitmen kerja. Jadi hari ini saya pastikan saya datang,” ujarnya.

Kamal mengakui, situasi yang dihadapinya kini bukan sesuatu yang mudah apatah lagi ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke mahkamah bagi urusan rumah tangga.

“Apa yang berlaku atas salah saya dan mohon jangan kecam isteri saya. Saya ‘nervous’ sebenarnya. Tak pernah sampai tempat macam ini. Benda ini tak ‘best’ langsung. Saya tak gembira pun, tapi saya datang sebab nak perbetulkan keadaan,” katanya.

“Saya mohon kepada semua netizen, jangan tulis apa-apa yang tidak elok pada isteri saya. Tolong jangan kecam dia. Dia penat kerja, dia tertekan dan saya faham perkara itu.

“Kalau nak kutuk, kutuk saya sahaja. Jangan beri tekanan pada dia sebab apa yang berlaku pada kami terlalu berat untuk dikendalikan,” katanya sebaik sebaik keluar dari dewan mahkamah, di sini.

Kamal mengakui kesilapan sendiri dan enggan meletakkan tanggungjawab terhadap pihak lain atas apa yang berlaku.

“Apa yang berlaku hari ini, saya anggap semuanya berpunca daripada kelemahan saya sendiri. Saya minta maaf kalau ada salah saya terhadap dia atau keluarganya,” katanya.