KUALA LUMPUR – Selepas hangat diperkatakan mengenai keretakan rumah tangganya, penyanyi Ahmad Nubhan Ahamad, 39, akhirnya tampil bersuara bagi menjawab segala persoalan yang menjadi tanda tanya ramai.

Memetik laporan mStar, Nubhan menafikan dakwaan bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, yang mendakwa tidak mengetahui punca perceraian mereka. Menurutnya, kedua-dua pihak sebenarnya maklum apa yang berlaku sehingga tiada lagi persefahaman dalam hubungan itu.

“Berat sebenarnya, tapi bukan semua orang nak perkara ini berlaku. Saya dah lama fikirkan hal ini,” katanya ketika ditemui media pada sidang pengenalan peserta Gegar Vaganza ke-12 (GV12) di ibu negara.

Menurut Nubhan, kenyataan Afifah kononnya tidak tahu sebab diceraikan adalah tidak wajar dan tidak benar.

“Dia dakwa tidak tahu punca dicerai, itu tidak mungkin. Saya dah pernah bincang perkara ini banyak kali.
Saya juga pernah berjumpa bapanya, berbincang tentang masalah yang berlaku, malah pernah bawa dia jumpa pakar rumah tangga,” ujarnya lagi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Ada Untukmu itu menegaskan, dia tidak mahu memperbesarkan perkara ini kerana masih menghormati bekas isterinya dan hubungan yang terjalin selama sedekad.

“Bila dia kata tak tahu punca (penceraian), itu tak wajar. Saya pun tak mahu cakap banyak sebab takut keluar perkara yang tak baik. Kami pernah tinggal bersama selama 10 tahun, jadi biarlah saya simpan semua kisah ini,” katanya dengan nada tenang.

Dalam pada itu, Nubhan mengakui bukan mudah melalui fasa perceraian, namun percaya setiap keputusan dibuat sudah difikirkan sebaiknya.

Difahamkan, pasangan tersebut sebelum ini mendirikan rumah tangga sekitar tahun 2015 dan dikurniakan beberapa cahaya mata.

Sementara itu, peminat di media sosial terus memberikan sokongan moral kepada Nubhan, agar terus kuat dan fokus terhadap kerjaya seni selepas kembali aktif melalui pentas Gegar Vaganza musim ke-12.


Sumber: mStar / Harian Metro