Melaka: Polis menahan seorang lelaki berhubung kes seorang gadis cedera disyaki dilibas dengan objek tajam di Jalan Tangga Batu berhadapan Taman Tangga Batu Seksyen 1, Tanjung Kling di sini, petang semalam.
Suspek ditahan di sebuah rumah berdekatan tempat kejadian sekitar jam 10.30 malam tadi.
Difahamkan suspek berusia 20-an tahun itu akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh bagi permohonan reman pagi ini.
Remaja perempuan itu cedera di pinggang dipercayai dilibas dengan objek tajam oleh lelaki tidak dikenali ketika membonceng motosikal di Jalan Tangga Batu berhadapan Taman Tangga Batu Seksyen 1, di sini, petang tadi.
Difahamkan, dalam kejadian 4.45 petang itu, mangsa berusia 19 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu 9 Tangga Batu dengan membonceng motosikal yang ditunggang oleh kakak iparnya.
Kedua-duanya bekerja di kilang sarung tangan berhampiran.
Suspek kes libas rupanya adik kepada kakak ipar mangsa, mengaku menaruh minat terhadap mangsa
Hasil siasatan awal mendapati penganggur berusia 25 tahun itu mengaku terlibat dalam kejadian tersebut serta menyatakan dia mempunyai perasaan terhadap mangsa, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Kakak suspek yang terkejut dengan kejadian itu memaklumkan mangsa sebenarnya adik iparnya yang tinggal berhampiran rumah keluarga mereka sejak tiga bulan lalu selepas bekerja di kilang
Keluarganya kini menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis dan berharap orang ramai tidak membuat spekulasi, sambil memaklumkan mangsa juga merupakan ahli keluarga mereka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.