BUKIT MERTAJAM: Siasatan kes dua beranak yang ditemui maut akibat ditetak di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah, Juru, di sini, malam kelmarin akan dilaksanakan secara menyeluruh daripada semua aspek.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut memandangkan motif pembunuhan kes itu masih belum jelas.
Bagaimanapun, katanya semua bahan bukti yang diperoleh akan digunakan bagi membantu siasatan kes itu.
“Motif kes ini masih belum jelas dan kita akan menjalankan siasatan menyeluruh daripada semua aspek bagi mencari punca sebenar pembunuhan dua beranak ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut polis menemui sebilah pisau dalam kawasan semak berhampiran lokasi pembunuhan.
Suami mangsa berusia 57 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan mayat Allahyarham Sariya Che Hin, 51, ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah rumah berkenaan dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya hampir putus, manakala mayat Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, dalam keadaan meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.
Laporan bedah siasat mendapati punca kematian dua beranak itu adalah disebabkan tetakan di bahagian belakang leher dengan menggunakan senjata tajam dipercayai pisau pemotong daging.
