GEORGE TOWN: Polis menemui senjata yang dipercayai digunakan dalam kes pembunuhan seorang wanita dan anak angkatnya di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah di Juru, kelmarin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata senjata berkenaan ditemui di belakang rumah mangsa.
“Setakat ini, siasatan masih dijalankan. Bagaimanapun saya boleh sahkan bahawa kami telah menemui senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian pembunuhan terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini, namun enggan mengulas lanjut mengenai penemuan itu.
Semalam, Pakar Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor, memaklumkan bahawa hasil bedah siasat awal mendapati kedua-dua mangsa mengalami kesan tetakan dalam di bahagian tengkuk, yang menyebabkan kematian.
Beliau berkata, senjata yang digunakan berkemungkinan objek berat dan tajam, dipercayai pisau pemotong daging.
Dalam kejadian itu, Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemukan meninggal dunia di rumah sewa mereka oleh suami Sariya, kira-kira jam 7.30 malam Sabtu.
Lelaki itu kini direman sehingga Sabtu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Azizee berkata, polis turut menyiasat beberapa dakwaan yang tular di media sosial berkaitan suami mangsa.
Antaranya dakwaan bahawa lelaki berkenaan tidak berada di tempat kerja sebelum kejadian, meskipun memberi kenyataan sebaliknya kepada pihak polis.
Turut disiasat beberapa rakaman suara yang tersebar luas, termasuk satu rakaman yang didakwa mengandungi suara seorang kanak-kanak menjerit.
“Semua perkara ini masih dalam siasatan, kami menyiasat dari semua sudut. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, suami mangsa bukan suspek, dia hanya direman untuk membantu siasatan,” katanya.