KULAI – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menangkap enam termasuk pelajar perempuan tingkatan empat kerana berkhalwat dalam beberapa buah hotel di sekitar daerah ini hari ini.
JAINJ dalam kenyataan memaklumkan, pelajar perempuan yang masih bersekolah di luar daerah ini ditahan bersama-sama pasangannya, lelaki berumur 20 an dalam operasi pukul 10 malam tadi hingga 3 pagi.
“Pasangan ini amat mengejutkan kerana membabitkan pelajar sekolah. Lelaki berumur 20-an masih bujang dan bekerja di sebuah kilang.
“Sementara remaja perempuan berusia 16 tahun dan masih sekolah menengah tingkatan empat di satu daerah lain.
“Lelaki terbabit terkejut apabila membuka pintu dan melihat lima penguat kuasa JAINJ, dan hanya membuka sedikit pintu pada mulanya.
“Apabila penguat kuasa masuk ke dalam bilik, terdapat pasangannya yang sedang berdiri dan nampak wajah seperti budak sekolah,” jelas kenyataan itu hari ini.
JAINJ memberitahu, ibu dan bapa pelajar terbabit sudah dipanggil untuk proses jaminan.
Jabatan tersebut turut menasihatkan ibu bapa, pelajar serta masyarakat agar lebih peka terhadap cabaran gejala sosial yang semakin membimbangkan melibatkan generasi muda.
Jelas JAINJ lagi, tindakan yang bertentangan dengan nilai agama dan adab bukan sahaja memberi kesan buruk kepada diri sendiri, bahkan turut mencalar maruah keluarga dan institusi pendidikan.
Menurut JAINJ, selain pasangan itu, pihaknya turut menangkap khalwat dua lagi pasangan warganegara Indonesia.
“Lelaki berumur 30 an ditangkap di dalam bilik hotel bersama wanita senegara yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pekerja kantin.
“Pasangan kedua pula membabitkan warga Myanmar dalam lingkungan umur 30-an yang bekerja pengawal keselamatan dan wanita bekerja di kilang di Senai,” katanya.- MalaysiaGazette