KUALA LUMPUR: Isteri kepada penyanyi dan usahawan, Ahmad Nubhan Ahamad, iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, tampil meminta netizen agar tidak menyalahkan suaminya susulan perceraian mereka yang tular sejak kebelakangan ini.
Segalanya tercetus selepas seorang pengguna laman Threads memuat naik hantaran berbaur gurauan dengan menulis:
“Semua isteri satu Malaysia tengah emo (emosi) dengan suami sendiri ke tu? Semua salah Nubhan.”
Bagaimanapun, Afifah memberi maklum balas ringkas namun menyentuh hati:
“Janganlah macam tu,” tulisnya, disertakan emoji air mata bergenang.
Balasan berkenaan pantas menarik perhatian warga maya yang memuji sikap tenang dan berhemah wanita itu kerana tetap menjaga aib suaminya walau selepas berpisah.
“Bagusnya awak masih menjaga aib suami,” tulis seorang pengguna Threads sebagai tanda hormat terhadap Afifah.
Ramai turut menitipkan doa dan kata-kata semangat, berharap Afifah terus kuat menghadapi ujian berkenaan.
Dalam hantaran berbeza di Instagram Story (IGs). Afifah seolah-olah meluahkan kerinduan terhadap Nubhan apabila menulis:
“Tak dapat tengok abah, tengok anak ibu seorang ni pun cukup dah,” tulisnya..
Luahan itu menimbulkan rasa sebak dalam kalangan pengikutnya yang memahami perasaan seorang isteri dan ibu yang masih menyayangi walau jodoh tidak panjang.
Terdahulu, berita perceraian antara Nubhan dan Afifah yang juga seorang doktor gigi mengejutkan ramai pihak. Difahamkan, Nubhan pernah melafazkan cerai pada 2017 sebelum kembali rujuk tiga hari kemudian.
Namun, pasangan itu bercerai kali kedua pada 26 Ogos lalu dan kini tinggal berasingan.
Pada prosiding pengesahan lafaz cerai kelmarin, Mahkamah Rendah Syariah Sepang menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan.
Nubhan dan Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8. Ahmad Aaffan, 8 dan dan Afzan Nayille, 3.