Petaling Jaya: “Saya berdebar dan takut apabila pelajar lelaki itu masuk ke kelas kami dengan memegang senjata, malah tangan dan bajunya ada kesan merah dipercayai darah,” kata pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini, hari ini.

Terdahulu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun dalam kejadian di kawasan tandas perempuan di sekolah berkenaan, jam 9.10 pagi.

Pelajar tingkatan satu itu mendakwa pelajar itu masuk ke kelasnya dipercayai selepas kejadian namun tidak mencederakan pelajar lain dalam kelas berkenaan.

“Dia hanya masuk kelas kami sambil bawa senjata tetapi dia tak acu (senjata) atau ugut kami. Pelajar itu hanya diam saja. Pelajar itu masuk kelas kami sekejap saja sebelum dia keluar dan saya tak tahu dia pergi mana selepas itu.

“Kami memang takut dan berdebar-debar ketika itu dan saya juga masih rasa trauma dengan kejadian itu. Saya tidak mengenali dia, kami tidak belajar di kelas yang sama dan saya cuma tahu dia pelajar kelas peralihan saja,” dakwanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar mendakwa dia terdengar pelajar itu berbisik kepada rakannya dengan mengatakan ‘you see later, what happen’ (awak lihat nanti, apa yang akan berlaku) ketika mereka sedang berkumpul sebelum masuk ke kelas.

Dakwanya, ketika itu secara kebetulan dia berada di belakang pelajar terbabit namun mengakui tidak mengenali dan berkawan dengan remaja lelaki terbabit.

“Kami juga ada nampak pelajar itu ada bawa senjata,” dakwanya.

Seorang lagi pelajar berkata, dia terdengar suara jeritan pelajar perempuan di tandas aras bawah dari kelasnya di tingkat tiga sebelum melihat seorang pelajar berlari ke bawah.

“Saya lihat ada budak lelaki berlari seperti mahu turun ke bawah (dipercayai untuk membantu). Pada mulanya saya ingatkan ada pelajar kena marah dengan cikgu atau ada kejadian lain.

“Sebelum itu juga saya ada nampak budak lelaki (dipercayai suspek) memegang senjata tajam,” dakwanya.

Gambar Ada Di Bawah Sekali