KUALA LUMPUR: Federation Internationale de Football Association (FIFA) akhirnya mendedahkan keputusan penuh berhubung isu pemain warisan Harimau Malaya — dan hasilnya cukup mengejutkan.

Dalam laporan rasmi setebal 15 muka surat bertarikh 25 September 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersalah kerana membenarkan penggunaan dokumen palsu dan dimanipulasi ketika mendaftarkan beberapa pemain warisan untuk layak beraksi bersama skuad negara.

Kesemua tujuh pemain warisan yang telah disenarikan oleh FIFA dalam dokumen itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garces, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vítor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Akibatnya, FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (lebih RM1.8 juta) manakala setiap pemain terbabit digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak, selain denda CHF2,000 seorang.

Menurut laporan itu, siasatan mendapati dokumen asal yang diperoleh penyiasat FIFA menunjukkan maklumat berbeza dengan dokumen yang dihantar oleh FAM, termasuk tempat lahir datuk atau nenek yang tidak berada di Malaysia.

“Perbezaan ini jelas menunjukkan unsur pemalsuan bertujuan menampakkan pemain-pemain berkenaan seolah-olah memiliki darah keturunan Malaysia,” kata laporan tersebut.

FIFA turut menegaskan, tindakan itu bukan kesilapan teknikal semata-mata, tetapi melanggar integriti sukan dan proses kelayakan pemain antarabangsa.

Bagaimanapun, FAM dan pemain terbabit masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan dalam tempoh tiga hari selepas notis dikeluarkan, dengan masa tambahan lima hari untuk memfailkan rayuan penuh.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada FAM mengenai langkah seterusnya, namun difahamkan badan induk bola sepak negara itu sedang melantik barisan peguam sukan antarabangsa terkemuka bagi meneliti keputusan berkenaan sebelum tindakan lanjut diambil.