Kota Kinabalu: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner, di sini, hari ini bahawa Allahyarham Zara Qairina Mahathir didakwa pernah berkata kepadanya mengenai ‘terjun dari tingkat tiga’.
Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang saksi kanak-kanak memaklumkan, saksi kelapan kanak-kanak itu menjelaskan arwah Zara hanya diam apabila dia bertanya kenapa arwah bercakap begitu.
“Zara pernah berkata kepada saksi ‘bagaimana kalau saya terjun dari tingkat 3? Kau sedih kah’. Lepas itu saksi jawab ‘kenapa kamu cakap begitu? Tidak bagus’. Kemudian Zara diam.
“Saksi berkata pada masa itu hanya mereka berdua berada di hadapan biliknya. Saksi berkata Zara melihat ke bawah dari koridor asrama dengan keadaan murung dan kejadian itu berlaku sekitar bulan April 2025,” katanya kepada media selepas selesai prosiding, hari ini.
Ram berkata, saksi berkenaan tidak pasti sama ada Zara mempunyai konflik dengan pelajar lain di sekolah mereka dan dia mengaku tidak pernah mempunyai konflik dengan arwah.
Katanya, saksi juga tidak pernah nampak Zara dimarahi atau diganggu oleh pelajar lain.
“Saksi juga tidak pernah nampak sesiapa pelajar meraba atau melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap Zara di bilik asrama atau sekolah,” katanya.
Saksi ke-16 inkues itu, katanya mengetahui arwah Zara Qairina ada menulis diari ketika di sekolah dan sentiasa menulis diari di dalam bilik asrama pada waktu petang dan malam.
“Tapi, saksi tidak tahu berapa buku diari yang Zara ada dan saksi tidak pasti sama ada Zara menulis diari setiap hari. Saksi tidak pernah membaca diari Zara tersebut,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata, saksi berkenaan mengenali arwah Zara Qairina kerana tinggal di bilik yang sama tetapi hanya kawan biasa.
Katanya, saksi turut menceritakan perilaku arwah ketika di bilik asrama yang sentiasa tidur di atas karpetnya sendiri di atas lantai bilik kerana tidak memasang cadar tilam.
“Saksi juga menceritakan pada malam 15 Julai lalu, semasa saksi berada di bilik asrama, saksi mendengar ada orang panggil Zara datang ke bilik sebelah.
“Selepas itu saksi nampak Zara pergi ke bilik sebelah dan saksi dimaklum oleh rakan sebilik bahawa Zara dipanggil untuk berjumpa senior mengenai kehilangan barang di ‘dorm’.
“Selepas Zara kembali ke ‘dorm’ mereka, katanya dia (arwah) terus baring di lantai dan menangis. Zara juga ada teriak sambil bercakap ‘aku nda curi bah, sial’ (aku tidak mencuri).
“Saksi tidak tahu bagaimana kejadian Zara berjumpa dengan senior kerana saksi tidak pergi ke bilik sebelah,” katanya.
Ram berkata, saksi berkenaan menjelaskan sebelum itu pelajar senior tidak pernah berjumpa dengan arwah Zara dan setahu saksi, hanya sekali pada malam 15 Julai itu saja.
“Saksi berkata, selepas Zara berjumpa dengan senior di bilik sebelah, Zara nampak seperti dalam terganggu, Zara baring di lantai sambil menangis di depan almari. Zara tidak pernah menjerit dan menangis sebelum ini.
“Saksi menjelaskan Zara juga tidak pernah mengadu mengenai masalah dirinya atau berkonflik dengan sesiapa. Zara tidak pernah mengadu mengenai gangguan semasa di asrama seperti buli, tekanan belajar dan keletihan,” katanya.
Sambungan Di Bawah Sekali
