Kuala Lumpur: Prosiding inkues kematian remaja berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, yang didakwa menjadi mangsa buli di asrama sekolahnya di Kota Kinabalu, akan meneruskan sesi pendengaran di Mahkamah Koroner, hari ini.

Dalam prosiding minggu lalu, beberapa saksi kanak-kanak mendedahkan Zara Qairina pernah dihina dengan kata-kata kesat termasuk dipanggil ‘anjing gila’ serta menjadi sasaran ejekan rakan asrama.

Mahkamah turut memutuskan media hanya dibenarkan mengikuti semula prosiding selepas semua saksi kanak-kanak selesai memberi keterangan, bagi melindungi identiti dan kebajikan mereka.

Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan dijangka mendengar lebih ramai saksi termasuk pegawai perubatan dan rakan sekolah Zara Qairina sepanjang prosiding minggu ini, sebelum membuat penemuan rasmi berhubung punca dan keadaan kematian remaja berkenaan.

Mahkamah Koroner diberitahu oleh saksi kanak-kanak, seorang pelajar memarahi dan menjerit kasar terhadap Zara Qairina pada malam kejadian arwah dipanggil untuk disoal mengenai kehilangan dompet.

Prosiding turut diberitahu seorang lagi saksi mengenai geng ‘Circle 19’ di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, yang mempunyai 19 anggota kumpulan, semuanya satu tingkatan dan berkawan rapat sejak awal, iaitu saksi itu mengakui dia sebahagian ahlinya.

Dalam keterangan pertama, saksi keempat kanak-kanak memberitahu inkues, ketika dua orang pelajar berjumpa dengan Zara Qairina pada malam itu, beberapa lagi orang pelajar tiba-tiba masuk ke dorm (bilik asrama lain).

Saksi itu berkata, Zara Qairina masih dalam keadaan duduk bersila ketika beberapa orang lagi pelajar masuk ke dorm berkenaan dan beberapa pelajar yang baru masuk berdiri, manakala Zara Qairina duduk menghadap seorang pelajar yang berdiri.

Pada masa itu, saksi terbabit berkata, beliau mendengar kata-kata seorang pelajar yang berjumpa dengan Zara Qairina yang terus marah, termasuk menjerit kasar seperti ‘budu (bodoh) sial, aku injak la kepala ko ni.’

Baca Sambungan Di Bawah Sekali