KUALA LUMPUR: Status mengenai salasilah beberapa pemain warisan baharu Harimau Malaya tidak harus dijadikan bahan perdebatan lagi meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mendedahkan sepenuhnya susur galur mereka.
Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menegaskan semua pemain warisan itu sudah mendapat kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang membolehkan mereka beraksi bersama Harimau Malaya.
Justeru, beliau menyifatkan tiada isu sama ada susur galur pemain warisan didedahkan atau tidak kerana yang penting mereka sudah melepasi tapisan ketat daripada badan bola sepak dunia itu.
“Semua pemain warisan yang ada sudah diperiksa oleh FIFA dan FIFA adalah satu badan yang tegas dalam semua perkara. Jadi semuanya sudah disemak oleh FIFA dan FAM hanya ikut prosedur serta arahan yang ditetapkan.
“Tiada masalah untuk kami dedahkan atau tidak. Namun, FIFA pun sudah semak dan kami mengikut sahaja keputusan daripada FIFA,” katanya.
Kenyataan Joehari itu sebagai reaksi balas terhadap beberapa pihak yang mempersoalkan latar belakang pemain warisan Harimau Malaya terutama membabitkan lima pemain baharu yang membuat penampilan pertama ketika menentang Vietnam, 10 Jun lalu.
Pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, Harimau Malaya menggunakan khidmat Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado selepas mereka mendapat kelulusan daripada FIFA.
Selain itu, Joehari menjelaskan bahawa FAM sentiasa mengutamakan ketelusan dan tidak mengambil mudah mengenai soal pemilihan pemain, terutama yang membabitkan kelayakan dari segi undang-undang dan peraturan antarabangsa.
