Dulu… kalau orang nampak keluarga kami, pasti mereka cakap hidup kami sempurna. Ada rumah besar peninggalan arwah nenek, tanah pusaka luas, kereta ayah berderet depan laman. Ibu kami wanita sederhana, hidupnya hanya untuk keluarga. Dia tak pernah minta lebih, cukup anak-anak kenyang, cukup rumah berisi gelak tawa.
Tapi ayah? Masa tu darahnya masih panas, masih kuat. Duit pusaka yang arwah nenek tinggalkan semua dalam genggamannya. Dia rasa itu rezeki, itu hak dia. Kami anak-anak masa tu kecil, masih sekolah. Ibu pula sibuk menjaga kami.
Semuanya mula berubah bila ayah mula kenal seorang anak dara. Entah siapa, entah dari mana. Cantik katanya. Pandai bermain kata manis. Ibu kami mula jadi asing di mata ayah. Ibu yang dulu bangun awal pagi sediakan sarapan, ibu yang sanggup simpan duit dapur semata-mata nak beli baju baru untuk ayah — semuanya jadi sia-sia.
Ayah berubah. Panas baran. Kalau kami minta duit sekolah pun dia marah. Tapi peliknya, duit tu laju saja mengalir pada anak dara pujaannya. Motor, emas, barang kemas, malah rumah pusaka yang jadi tempat kami membesar pun digadai satu-satu.
Paling sakit — saat ayah lafazkan cerai pada ibu. Tiada tangisan, tiada rayuan. Hanya sebaris ayat dingin, seolah-olah ibu ini sampah yang boleh dibuang bila-bila masa. Kami anak-anak tergamam. Tak sempat nak tanya kenapa, ayah dah suruh kami kemas barang. “Keluar. Cari hidup sendiri,” katanya.
Bayangkan, kami yang masih kecil, masih sekolah, terpaksa menumpang di rumah saudara mara. Ada yang tidur lantai, ada yang berhenti sekolah sebab tak cukup duit. Ibu cuba kerja apa saja, jadi pencuci, jadi tukang jahit, asalkan kami boleh makan.
Masa tu ayah hidup mewah. Ke hulu ke hilir dengan wanita barunya. Katanya cinta sejati. Katanya dia lelaki bahagia. Kami? Dia hulur sekali sekala RM50. Nak panggil itu nafkah pun tak layak.
Tahun berganti tahun. Hidup kami susah, tapi kami belajar bangkit. Seorang demi seorang berjaya. Ada yang sambung PhD, ada yang jadi doktor, ada yang jadi peguam. Semua hasil air mata ibu, bukan kerana ayah.
Video Viral
Sampailah baru-baru ni, satu video viral. Seorang lelaki tua merempat, tidur di masjid, di surau. Mengaku dia ada anak 5 orang, semuanya berjaya, tapi katanya semua buang dia. Kononnya dia dizalimi, dia diabaikan.
Orang ramai simpati. Ada yang kutip derma, ada yang kecam anak-anak kononnya tak kenang jasa ayah. Tapi yang mereka tak tahu, itu ayah kami. Lelaki yang pernah halau kami keluar rumah. Lelaki yang sanggup gadaikan maruah ibu demi cinta barunya. Lelaki yang buang kami jauh sebelum kami pandai berdiri.
Hati kami remuk bila baca komen orang. Ada yang cakap kami anak derhaka. Ada yang maki hamun kami tak guna. Sedangkan mereka tak pernah nampak macam mana ayah sendiri buang darah dagingnya demi nafsu.
Ibu hanya diam. Air matanya menitis bila tengok video tu. Katanya, “Biarlah orang percaya apa yang dia nak. Tuhan tahu kebenaran. Kita jangan balas dengan benci.”
Tapi jauh dalam hati kami, luka itu tak pernah sembuh. Biar berjuta orang simpati pada ayah, hanya kami tahu siapa dia sebenarnya. Dia bukan ayah yang kami buang. Dialah yang buang kami dulu — demi cinta, demi dunia yang akhirnya tak kekal.
Dan hari ini, dia sendiri yang tinggal sendirian, menagih simpati dunia, padahal dulu dia yang pernah menolak kasih sayang kami mentah-mentah.
Sambungan Di Bawah Sekali
