Kota Kinabalu: Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap mengaku melarang pelajar daripada membuat panggilan telefon pada 16 Julai.
Saksi kelapan inkues kematian Zara Qairina itu memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau mengeluarkan arahan itu dalam kumpulan WhatsApp warden dan mesej peribadi kepada seorang guru.
“Larang pelajar daripada membuat panggilan pada hari itu (16 Julai), itu sahaja. Saya tidak pernah meminta suis (telefon) dimatikan.
“Saya tidak mahu ibu bapa di rumah bimbang anak-anak mereka di asrama.
Disyorkan
“Saya juga tidak mahu berita yang tidak sahih tersebar,” katanya ketika disoal oleh pegawai pengendali, Mohd Fairuz Johari.
Minggu lalu, pengawal keselamatan sekolah, Linah Mansoding memberi keterangan bahawa Azhari meminta keenam-enam telefon awam di asrama dimatikan selama 48 jam.
Azhari bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu berapa lama telefon itu tidak dapat digunakan.
Beliau juga memberi keterangan bahawa sekiranya berlaku kecemasan, pelajar masih boleh menghubungi ahli keluarga mereka melalui guru.
Ketua warden itu turut mengakui bahawa beliau telah dimaklumkan mengenai dua pelajar yang mahu pulang ke rumah pada malam 17 Julai, namun permintaan mereka ditolak.
Saksi kelapan inkues kematian Zara Qairina itu juga berkata beliau mengarahkan arwah diangkat sejurus tiba di lokasi arwah terbaring selepas menerima panggilan daripada pengawal keselamatan.
Katanya, beliau turut membantu mengangkat Zara Qairina selepas empat pelajar yang diarahkannya menyatakan tidak larat mengangkat arwah berikutan berat setelah beberapa langkah bergerak.
Ketika itu, Pegawai Pengendali, Mohd Fairuz Johari bertanya kepada Azhari berapa lama arwah terbaring sebelum dialihkan ke tempat lain selepas beliau tiba di lokasi kejadian.
Mohd Fairuz: Berapa lama keadaan Zara begini (terbaring) sebelum diangkat?
Azhari: Satu hingga dua minit selepas saya sampai, saya arahkan pelajar angkat Zara
Mohd Fairuz: Siapa yang angkat?
Azhari: Dari longkang (beliau menyebut tiga pelajar) dan Aunty Linah (pengawal keselamatan) dari sebelum saya sambut. Saya sambut selepas tiang sebab pelajar yang angkat keberatan (merasa berat). Selepas itu tinggal dua orang pelajar bersama saya angkat.
Mohd Fairuz: Siapa arah Zara diangkat?
Azhari: Saya.
Mohd Fairuz: Boleh tunjuk cara angkat?
Azhari: (Beliau menunjukkan cara mengangkat tubuh Zara dengan menggunakan patung). Semasa di longkang, saya nampak pelajar yang mengangkat, empat orang termasuk Aunty Lina keberatan pada masa itu, sebelum saya sambut bersama dua pelajar (masing-masing jaga kepala dan kaki arwah).
Mohd Fairuz: Kenapa cikgu arah Zara diangkat?
Azhari: Semasa saya sampai, saya tidak nampak kecederaan Zara, selepas diangkat baru saya nampak kecederaan Zara. Saya nampak kecederaan Zara pada bahagian kaki kiri, itu saja saya nampak pada masa itu dan kalau di tempat saya (berada), saya tidak nampak Zara jatuh dari mana sebab pada masa itu baju (arwah) sudah diturunkan dan saya tidak nampak tangan di longkang seperti dalam gambar.
Mohd Fairuz: Kenapa tidak biarkan Zara hingga pihak berkuasa atau ambulans sampai?
Azhari: Seperti saya kata tadi, saya tidak nampak kecederaan Zara semasa saya sampai, saya hanya nampak kaki saja cedera, sebelah kiri, saya cakap kepada pelajar jangan pegang. Selepas angkat barulah saya nampak ada kesan darah di bucu longkang. Tujuan saya angkat sebab mahu bawa ke hospital.
Ketua Warden berumur 31 tahun yang menjalankan tugas itu sejak Februari 2025 berkata, Zara Qairina diangkat ke tepi bilik warden asrama perempuan dengan jarak kira-kira 20 meter dari lokasinya ditemui.
Pada mulanya, beliau berkata arwah mahu dihantar terus ke hospital menggunakan kereta, namun tidak jadi disebabkan tubuh arwah Zara Qairina berat diangkat.
โSebab itulah saya bawa sebelah rumah warden. Di tempat terlindung dan rata dan saya tidak letak begitu saja, saya alas dengan kain pelikat, baru letak dengan hati-hati,โ katanya.
Mohd Fairuz turut bertanya kenapa arwah Zara Qairina tidak diangkat ke bilik sakit asrama yang terletak di hadapan lokasi dia ditemui terbaring.
Mohd Fairuz: Tempat dia jatuh hampir bilik sakit?
Azhari: Tidak, itu bilik ketua pelajar. Di atas ada tulis bilik sakit, tapi itu bukan bilik sakit sebab itu baru diwujudkan pada tahun ini.
Mohd Fairuz: Kami sudah melawat di sana, bilik itu tulis bukit sakit?
Azhari: Tidak, ia baru diwujudkan pada tahun ini.
Mohd Fairuz: Kenapa tidak letak sana?
Azhari: Sebab saya fikir saya mahu bawa ke hospital dengan kereta sendiri, tapi sebab keberatan kami letak sanalah (depan bilik warden) dan situ terlindung dari pandangan pelajar lain.
Mohd Fairuz: Kalau keberatan patut letak di bilik depan itu?
Azhari: Saya yang angkat sendiri pun trauma, kalau saya letak sana ahli bilik juga akan jadi trauma.
Bilik itu katanya dihuni ketua pelajar asrama perempuan selain beberapa pelajar lain.