KOTA KINABALU – Lima remaja perempuan yang dikaitkan dengan kes buli Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir telah didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu, pada Rabu.
Bagaimanapun, difahamkan mahkamah memerintahkan larangan (gag order) untuk tidak mendedahkan mengenai prosiding yang berlaku berhubung pendakwaan lima remaja tersebut.
Lima remaja mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela dan menggunakan kata-kata kesat terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Pertuduhan dibacakan dalam prosiding yang berlangsung di dalam bilik Mahkamah Kanak-Kanak yang berlangsung pada Rabu.
Menurut pertuduhan, pada 15 Julai lalu kira-kira 10 malam sehingga 11 malam, tertuduh telah menggunakan perkataan mencela terhadap mangsa, yang mana perkataan tersebut didengari yang mungkin menyebabkan mangsa berasa terganggu dengan perkataan tersebut.
Sehubungan itu, kesemua tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan 16 Oktober bagi tarikh sebutan semula yang kedua.
Turut ditetapkan tarikh untuk perbicaraan kes tersebut pada 15 hingga 19 Disember depan.
Prosiding dikendalikan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus bersidang untuk Mahkamah Kanak-Kanak tersebut.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan.