KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi terkenal, Ayda Jebat, mencuri perhatian warganet apabila berkongsi pengalaman peribadi zaman sekolah menengahnya yang disifatkan sebagai “trauma” hingga memaksanya menukar sekolah.

Dalam perkongsian di media sosial, Ayda mendedahkan bahawa kejadian itu berlaku ketika beliau berada di Tingkatan 1 di sebuah sekolah perempuan berprestij.

“Dulu Tingkatan 1, saya sekolah di sekolah perempuan. Ada asrama tapi sebab saya masuk lambat, jadi asrama dah penuh. Terpaksa ulang alik dari rumah ke sekolah, dalam 40 minit jugak perjalanan,” tulisnya.

Ayda mengakui pada awalnya dia begitu teruja kerana sekolah tersebut terkenal dengan pencapaian akademik dan kokurikulum.

“Mula-mula excited dapat masuk sekolah ni sebab ni antara sekolah perempuan yang terbaik & hot… Pelajar yang masuk straight A’s UPSR, paling sikit pun maybe 4A. Kira bijak pandailah ya.

“Nak dipendekkan cerita, saya sekolah kat situ kurang daripada setahun. Sebab tak tahan! Tak tahan asyik kena ngorat sampai mental tak stabil, dah nak belajar pun tak fokus! Kena ngorat dengan ‘kakak-kakak’ senior,” dedahnya.

Menurut Ayda, segalanya bermula dengan seorang pengawas kelas yang lebih tua setahun daripadanya.

“Mula-mula ada pengawas yang jaga kelas saya ni… dia macam care la kat kita. Kita pun baik la. Sampai tetiba almost everyday dia start bagi surat kat bawah meja, lepastu bagi hadiah. Chocolate la, sepit rambut la, patung la, cincin la eh. Nak kawin dengan aku ke hahahah!”

Namun, situasi bertukar tegang apabila Ayda ditegur seorang senior lain di tandas.

“Adik, you dengan dia ni ke?” tanya senior itu.
Saya cam, “Hah? Couple? Pebenda?”
Dia kata, “Oh… sebab dia dah kecoh cakap you dia punya.”

Senior tersebut kemudian memberi amaran:
“Dia ada bagi you hadiah atau surat tak? Kalau ada, hati-hati ya. Sebab kalau dia suka, bahaya.”

Sejak itu, Ayda mula cuba mengelak. Namun, pengawas terbabit memberi amaran keras.

“Dia kata, ‘beware, jangan kau layan orang lain selain aku.’ Time tu sis dah gigil la… Dia akan tunggu depan kelas setiap waktu rehat. Saya sanggup duduk dalam tandas sekolah masa rehat sebab takut giler,” katanya.

Tidak tahan lagi, Ayda akhirnya membuka cerita kepada ibunya yang ketika itu merupakan ibu tunggal.

“Ma, nak cakap sikit. Boleh ke kalau saya nak pindah sekolah?”
Ibunya bertanya, “Kenapa? Bukan kakak nak sangat belajar kat sekolah tu dulu? Sekolah bagus.”

Ayda kemudian mengeluarkan semua hadiah dan surat yang diterimanya.

Ibunya pada awalnya menganggap ia perkara biasa. Namun Ayda mendedahkan, “Actually my best friend kat class masa tu pun dah tetiba minat dekat budak 1 class kita jugak… Lagi la saya rasa tak selamat.”

Akhirnya ibunya bersetuju untuk membuat janji temu dengan pengetua.

Ketika berjumpa pengetua, ibunya memberi alasan jarak rumah yang jauh. Namun Ayda yang sudah geram berkata terus terang:

“Maaf shaakap cikgu. Kat sekolah ni banyak lesbian. Nah benda-benda dorang bagi dan saya takut nak datang sekolah. Tolong keluarkan saya dari sekolah ni.”

Pengetua hanya membalas ringkas, “Baiklah Suhada,” seolah-olah sudah biasa mendengar kes seperti itu.

Ayda akhirnya berpindah ke sekolah biasa dan menyifatkan kehidupannya kembali aman.

Dalam perkongsian itu, beliau turut memberi pesanan kepada remaja:
“Kalau ada kejadian walaupun kecil, tolong bagitau parents cepat. Sebab budak zaman sekarang makin berani.”

Katanya, perkongsian ini dibuat selepas membaca kes melibatkan arwah Zara, dengan harapan agar nasib arwah terbela.