PETALING JAYA, 11 Mei – Kecoh di media sosial berkenaan kes langgar lari membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan sebuah motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya NKVE menghala ke Plaza Tol Jalan Duta.

Dalam insiden yang berlaku baru-baru ini, pasangan suami isteri yang menaiki motosikal mengalami kecederaan parah, dengan si isteri dilaporkan mengalami pendarahan otak. Pemandu Navara tersebut melarikan diri dari lokasi kejadian, mencetuskan kemarahan ramai.

Netizen ‘Bakar’ Nama Pemilik Kenderaan

Tidak lama selepas insiden tersebut tular, netizen mula menyebarkan maklumat peribadi milik seorang individu bernama Balan Radhakrishnan, yang dikenalpasti sebagai pemilik berdaftar kenderaan itu.

Nama, wajah, dan alamat rumah Balan disebarkan tanpa tapisan. Malangnya, ramai tidak tahu bahawa Balan bukan pemandu sebenar pada hari kejadian.

“Saya di Shah Alam. Dia balik mengaku baru langgar orang.”

Bercakap kepada mStar, Balan menjelaskan bahawa pada waktu kejadian, kenderaan tersebut dipandu oleh sepupunya — yang telah lama dianggap seperti adik sendiri.

“Saya tak berada pun di lokasi. Sepupu saya yang pandu. Lepas dia balik, dia sendiri mengaku terlibat dalam kemalangan tu. Saya tanya kenapa dia tak berhenti, dia jawab takut kena pukul,” katanya.

Balan terus membawa sepupunya ke balai polis dan individu terbabit kini telah ditahan reman selama dua hari untuk siasatan lanjut.

Tampal Sticker PDRM Sebab ‘Dapat Dari Kawan’

Turut mencetuskan tanda tanya adalah pelekat PDRM 4×4 yang terdapat pada Navara milik Balan. Ia mengundang pelbagai spekulasi termasuk andaian bahawa kenderaan itu milik anggota polis.

Namun Balan menjelaskan:

“Sticker tu kawan saya bagi. Dia dulu ada event, tapi tak tampal pada kereta dia. Saya ambil dan tampal. Kita pun biasa terlibat bantu banjir.”

Risaukan Keselamatan Ibu Bapa

Penyebaran gambar dan alamat peribadinya membuatkan Balan mula berasa bimbang, bukan untuk dirinya, tetapi keselamatan ibu bapanya yang tinggal di rumah sama.

“Saya minta semua bertenang dan hormati proses siasatan. Kes ini dah dalam siasatan pihak polis. Jangan sebarkan maklumat palsu tentang saya lagi.”

Balan turut membuat laporan polis di Balai Klang Selatan dan berharap tiada lagi penyebaran yang boleh mencetuskan salah faham atau membahayakan keluarganya.


Kes Disiasat Di Bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Pihak polis mengesahkan bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 42(1) kerana memandu secara melulu dan membahayakan, dan menegaskan bahawa tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan lengkap.

Semoga mangsa diberi keadilan, dan masyarakat lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat di alam maya.

Kredit: mStar