YONG PENG, JOHOR – Saat yang sepatutnya menjadi kenangan terindah dalam hidup bertukar menjadi detik paling menyayat hati buat keluarga ini apabila seorang bakal pengantin maut dalam kemalangan jalan raya hanya dua hari sebelum majlis pernikahannya.

Menurut laporan Sinar Harian, kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi, 1 Mei lalu di Kilometer 93.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Yong Peng.

Mangsa dikenali sebagai Siti Nur Syamira Samsol, 28, yang ketika itu menaiki kereta Perodua Bezza bersama tunangnya, Muhammad Aiman Abdul Rashid, 30. Malangnya, kenderaan mereka dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan.


Maut di Tempat Kejadian

Menurut Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Hafiz Othman dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8.45 pagi.

Ketika sampai di lokasi, mangsa didapati tersepit di tempat duduk dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.

Difahamkan pasangan ini dalam perjalanan pulang ke rumah ibu Siti di Kampung Benaung, Mersing untuk membuat persiapan akhir menjelang hari bahagia mereka pada 3 Mei.


“Kami Kehilangan Lagi…” – Adik Mangsa

Adik kepada mangsa, Siti Nor Syamila, meluahkan rasa sedih apabila menerima berita tragis itu daripada tunang kakaknya sendiri hanya beberapa minit selepas kejadian.

“Segala persiapan dah selesai. Hantaran pun dah siap, baju dah tergantung, semua kami dah atur. Cuma tunggu hari itu tiba… Tapi kami terima berita yang buat kami hilang kata-kata.”

Lebih memilukan, keluarga ini masih dalam proses menyembuhkan luka lama — kehilangan ayah mereka dua tahun lalu.

“Dua tahun lalu kami kehilangan ayah. Kini kakak pula pergi. Kami baru nak rasa bahagia bersama, tapi tak sempat,” katanya sebak.


Tangguh Majlis, Fokus Urusan Pengebumian

Ditanya sama ada majlis pernikahan akan diteruskan atau ditukar kepada majlis tahlil, Nor Syamila memaklumkan pihak keluarga masih belum membuat keputusan.

“Sekarang kami hanya fokus untuk bawa pulang jenazah kakak ke kampung untuk dikebumikan.”


Kes Disiasat

Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.


Salam takziah buat keluarga Allahyarhamah Siti Nur Syamira. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.