Kuala Lumpur: Susulan kesilapan teknikal yang diakui sendiri Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyaksikan kemungkinan isu tujuh pemain negara yang digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bakal memasuki episod baharu.

Difahamkan, tujuh tonggak sedang berkira-kira untuk menuntut ganti rugi kepada FAM yang sebelum ini mengakui berlakunya kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen dilakukan kakitangan pentadbiran FAM.

Menurut sumber, langkah berkenaan sedang dipertimbangkan oleh pemain berkenaan ekoran kecuaian itu hingga menyebabkan mereka digantung FIFA selama 12 bulan.

Malah, ada beberapa pemain turut hilang mata pencarian selepas kontrak ditamatkan serta-merta oleh kelab disebabkan isu itu.

“Difahamkan peguam di luar negara sedang berunding dengan tujuh pemain itu bercadang untuk mempertimbangkan menyaman FAM kerana kesilapan teknikal yang mereka sendiri sahkan.

“Mereka (tujuh pemain) boleh berbuat begitu dan ia bukan perkara mengejutkan kerana periuk nasi mereka hilang sebab digantung.

“Langkah menuntut ganti rugi itu bagi membolehkan mereka membersihkan nama mereka.

“Ini penting untuk mereka mencari kelab baharu selepas tempoh penggantungan berakhir nanti,” kata sumber.