TAWAU, 22 Ogos 2025 – Mahkamah Tinggi Tawau hari ini memutuskan bahawa seramai 13 pelajar lelaki berusia 16 hingga 19 tahun dari Kolej Vokasional Lahad Datu didapati bersalah membunuh rakan mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17 tahun.


Kronologi Kejadian

Tragedi hitam ini bermula pada malam 21 Mac 2024, apabila berlaku satu pertelingkahan di asrama antara arwah Nazmie dengan beberapa rakan sebayanya. Puncanya dipercayai berkait tuduhan kononnya arwah telah mencuri wang tunai RM85, yang kemudian mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan pelajar lain.

Apa yang bermula sebagai ejekan bertukar menjadi pergaduhan fizikal. Mangsa dipukul oleh sekumpulan pelajar lain di dua buah bilik asrama berbeza – 7 Resak dan 5 Belian – dengan pelbagai bentuk serangan, termasuk ditumbuk dan ditendang berulang kali.

Serangan itu berlanjutan sepanjang malam hingga awal pagi, menyebabkan arwah mengalami kecederaan serius di kepala dan badan.

Lebih menyayat hati, selepas mangsa tidak lagi memberi tindak balas, kumpulan pelajar terbabit dikatakan cuba menutup perbuatan mereka dengan memakaikan semula baju sekolah pada tubuh mangsa pada pagi 22 Mac, seolah-olah arwah sudah bersiap untuk ke sekolah. Namun, ketika ditemui sekitar jam 7.38 pagi, arwah sudah pun tidak bernyawa.

Kejadian itu mengejutkan seluruh warga kolej dan segera dilaporkan kepada pihak polis. Siasatan awal mendapati mangsa telah meninggal dunia akibat kecederaan konsisten yang berpunca daripada serangan beramai-ramai, sekaligus membuka jalan kepada pertuduhan bunuh terhadap 13 pelajar yang terlibat.


Pertuduhan & Hukuman

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana bertindak secara bersama.

Jika sabit kesalahan, hukuman yang menanti ialah penjara seumur hidup atau hukuman mati, atau penjara 30 hingga 40 tahun dengan sebatan tidak lebih 12 kali.


Pembelaan & Keterangan Mahkamah

Hakim Datuk Duncan Sikodol dalam penghakimannya menyatakan bahawa pihak pembelaan hanya sekadar menafikan dan saling menyalahkan sesama sendiri. Keterangan doktor pula mengesahkan kecederaan mangsa berpunca daripada serangan beramai-ramai yang konsisten dan berterusan, sekaligus menolak dakwaan bahawa hanya seorang tertuduh terlibat.

Pasukan pembelaan menutup kes pada 15 April 2025 selepas memanggil 18 saksi termasuk kesemua tertuduh yang memberi keterangan bersumpah.


Penangguhan Hukuman

Mahkamah menetapkan tarikh 28 Ogos 2025 untuk mendengar hukuman, sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut Seksyen 90(12) Akta Kanak-Kanak 2001.


Pihak Pendakwa & Peguam

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, Ng Jhun Tao, dan Batrisyia Mohd Khusri. Manakala kesemua tertuduh diwakili oleh beberapa firma guaman ternama termasuk Ram Singh Harbans & Co, LCZ Law Firm, Johari Zelika & Amin, Vivian Thien & Associates, Kang Advocates, Kusni & Komariah, serta Chang & Kamarudin.


Reaksi & Kesedaran Awam

Kes ini mengejutkan masyarakat dan mencetuskan perbincangan hangat mengenai isu buli di sekolah berasrama penuh. Ramai netizen menzahirkan rasa marah dan sedih, sambil berharap hukuman yang akan dijatuhkan memberi pengajaran keras kepada pelaku dan menjadi iktibar kepada pelajar lain.

Tragedi ini sekali lagi membuka mata semua pihak tentang bahayanya budaya buli yang dibiarkan berlarutan sehingga meragut nyawa seorang remaja.